PETALING JAYA: Aisling Group (Aisling) dan Pusat Kerja Lembah Pantai (PKLP) mewujudkan inisiatif untuk membantu membuka peluang pekerjaan kepada komuniti Lembah Pantai terutama yang berada dalam kumpulan B40.
Perkara itu adalah sejajar dengan usaha PKLP untuk menolong pencari kerja yang diberhentikan mendapatkan pekerjaan.
Melalui kerjasama berkenaan, penganggur yang berdaftar dengan PKLP dapat mengakses pelbagai peluang pekerjaan melalui rangkaian pelanggan Aisling di semua sektor ekonomi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha PKLP membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.
“Ini adalah cara untuk kita membantu mereka yang diberhentikan untuk mencari pekerjaan, terutama untuk pencari kerja di sekitar Lembah Pantai.
“Yang paling penting, kami harap dapat melakukannya bahagian kita untuk mengatasi kesan wabak, membasmi kemiskinan, mempromosikan inklusif dan mengurangkan kadar pengangguran negara.” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Aisling Group, Melissa Norman pula berkata, sebagai jenama tempatan, lebih banyak perkhidmatan yang bersesuaian dengan cabaran mencari pekerjaan di Malaysia harus disediakan.
“Tujuan kami adalah mewujudkan perkongsian yang berharga dan memberi impak dalam dunia pekerjaan. Kami berkongsi matlamat yang serupa dengan PKLP, iaitu membantu orang mencari pekerjaan yang berfaedah,” katanya.
Pasukan PKLP berperanan mengumpulkan data pencari kerja untuk membentuk profil bagi calon termasuk maklumat peribadi mereka, latar belakang pendidikan dan pengalaman kerja bagi memastikan jawatan yang ditawarkan setara dengan pengalaman mereka. – UTUSAN ONLINE