KLANG: Polis akan memanggil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merekodkan keterangan berhubung rakaman perbualan audio telefon yang sedang tular di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) biasa bagi menjalankan sesuatu siasatan.
Menurut beliau, pihaknya sudah membuka kertas siasatan susulan lapan laporan polis yang dibuat orang awam.
“Mengikut SOP, tindakan yang diambil adalah pegawai penyiasat akan panggil merakamkan keterangan (Ahmad Zahid dan Anwar) dan itu adalah proses siasatan.
“Ahmad Zahid dan Anwar boleh tampil membuat aduan supaya polis menjalankan siasatan sekiranya merasakan diri teraniaya,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor di Surau An-Nur, Bandar Puteri di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Semalam, Abdul Hamid menasihatkan Presiden Ahmad Zahid dan Anwar membuat laporan polis berhubung rakaman perbualan audio telefon itu.
Polis setakat ini belum menerima laporan daripada kedua-dua individu berkenaan selain siasatan akan dilakukan sekiranya perkara tersebut mengganggu-gugat keamanan orang ramai.
Terdahulu, sebuah rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dikaitkan dengan Ahmad Zahid dan Anwar yang saling berterima-kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan UMNO bersetuju dengan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya mempunyai sebab untuk membuka sesuatu kertas siasatan sekiranya menerima banyak laporan polis.
“Sekiranya orang ramai berasa tertekan, cemas dan teraniaya, kita berhak untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu hasil analisis makmal forensik berhubung ketulenan rakaman audio tersebut. Kita tidak pasti bila akan peroleh hasil analisis dan akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara kelak.
“Keputusan (ketulenan audio) ini penting bagi menentukan klasifikasi kes dan tindakan lanjut yang akan diambil. Polis sememangnya sentiasa mahu menyelesaikan apa jua kes dalam kadar segera,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE