KOTA BHARU: Anak ketiga kepada Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Dr.Md.Yusnan Yusoff, memberitahu malam tadi dia bersama keluarga yang diimamkan bapanya, sempat bertarawih untuk kali terakhir.
Mohd.Jawwad Md.Yusnan, 27, berkata, bapanya menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 2.28 pagi tadi, selepas terjatuh akibat serangan jantung.
Dia yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik berkata, bapanya bangun dari tidur kira-kira pukul 2 pagi untuk ke bilik air sebelum terjatuh di tepi katil.
“Ketika itu, baba sempat menyebut kalimah Allah dan terus kejung lalu tidak boleh bercakap.
“Ibu saya, Rosmaini Mat Daud 52, yang terkejut dengan kejadian itu, bergegas naik ke tingkat atas mengejutkan kami adik beradik untuk mendapatkan bantuan sebelum menghubungi ambulans.
“Sebelum pegawai perubatan tiba, baba saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 12, Ketereh, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd,Jawwad berkata, arwah bapanya merupakan seorang yang tegas dan penyayang selain mementingkan keluarga agar sentiasa mengamalkan solat berjemaah lima waktu.
Katanya, arwah bapa selalu berpesan agar keluarga termasuk enam anaknya yang berusia 22 hingga 29, selalu solat berjemaah dan pesanannya akan dikenang sampai bila-bila.
“Sebelum arwah meninggalkan kami sekeluarga, baba kelihatan pendiam sejak seminggu lalu tetapi aktif melakukan kerja harian” katanya.
Dua berkata, bapanya sebelum ini mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pada tahun 2018.
Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan pemergian bapa dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob yang hadir menziarah jenazah bapanya.
Katanya, jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu selepas solat Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Hassan Ketereh.- UTUSAN ONLINE