ALOR SETAR: Pelakon veteran, Abu Bakar Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai di sini pada pukul 5.40 petang ini.
Terdahulu, jenazah diuruskan di kediaman miliknya di Kuala Nerang dan dibawa ke Masjid Al Ghufran, Alor Setar untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
Lebih 100 orang saudara serta rakannya hadir bagi memberi peringatan terakhir buatnya.
Allahyarham Abu Bakar menghembuskan nafas terakhir dipercayai kerana masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC), sini pada 9.04 pagi tadi.
Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak, manakala seorang lagi anak perempuannya meninggal pada umur 13 tahun.
Pelakon veteran itu pernah membintangi filem dan drama popular seperti Bila Hati Telah Retak, Cinta Kolestrol dan banyak lagi.
Kemampuan lakonan arwah tidak dapat disangkal apabila pernah memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan banyak lagi. -UTUSAN ONLINE