95 peratus pelajar lelaki dominasi kejadian jenayah - Utusan Malaysia

95 peratus pelajar lelaki dominasi kejadian jenayah

AYOB Khan Mydin Pitchay (kiri), Hasni Mohammad dan Ahmad Fauzi Ismail pada Majlis perasmian program Mekar di UTM, Skudai Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan jenayah membabitkan kes curi kenderaan, curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun antara indeks jenayah paling tinggi yang direkod melibatkan pelajar sekolah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hampir 99 peratus kesalahan terbabit dilakukan oleh pelajar sekolah menengah dengan pelajar lelaki mendominasi pelaku jenayah iaitu sebanyak 95 peratus.

Beliau berkata, bagi statistik pelajar menjadi mangsa perlakuan jenayah pula menunjukkan 58 peratus mangsa adalah terdiri daripada pelajar perempuan manakala 42 peratus merupakan pelajar lelaki.

“Mangsa perlakuan jenayah membabitkan pelajar sekolah berusia 13 hingga 18 tahun adalah bagi kes rogol diikuti kes mencederakan orang, curi kenderaan, orang hilang, cabul dan sebagainya.

“Sejak awal tahun hingga Mac ini, sebanyak 30 tangkapan telah dibuat ke atas remaja di atas pelbagai kesalahan,” katanya pada program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail.

Ayob Khan berkata, statistik menunjukkan tangkapan melibatkan pelajar sekolah di negeri ini bagi kesalahan jenayah adalah seramai 77 orang bagi tahun ini sehingga Mac diikuti 601 pelajar bagi tahun lalu dan 1,230 pelajar bagi tahun sebelumnya.

Katanya, bagi statistik melibatkan kes narkotik, penglibatan pelajar sebagai pelaku jenayah adalah seramai empat orang bagi tahun ini diikuti 36 pelajar pada tahun lalu dan 43 orang pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, antara kesalahan jenayah narkotik melibatkan pelajar adalah kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam tubuh badan dan penyalahgunaan daun ketum yang melibatkan pelajar di peringkat sekolah menengah.

“Meskipun statistik jenayah melibatkan pelajar menunjukkan penurunan, ini mungkin disebabkan faktor pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini dan langkah pencegahan serta program kesedaran perlu dilakukan agar penglibatan pelajar dalam kes jenayah dapat ditangani.

“Pembinaan Program Mekar ini mempunyai tiga modul utama iaitu narkotik, gangguan seksual dan jenayah sosial. Saya berharap program ini menjadi langkah efisien dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai jenayah agar tidak terjebak dalam sebarang perbuatan jenayah mahupun menjadi mangsa,” katanya.

Modul tersebut adalah jalinan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama UTM untuk diguna pakai oleh setiap pegawai perhubungan sekolah dalam penyampaian mereka sebagai alat bantu ceramah dan program.

Objektifnya adalah memberi kesedaran awal dan kesan negatif jenayah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak selain memastikan pencegahan awal berlaku seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya