KUALA LUMPUR: Kegiatan satu sindiket penipuan tawaran kerja menggunakan platform e-dagang terbongkar selepas sembilan individu ditahan termasuk seorang wanita warga Thailand di sebuah rumah di ibu negara pada 15 April lalu.
Serbuan pukul 4.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota serta pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Kesemua mereka yang ditahan terdiri lima lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 37 tahun.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Mahidisham Isha berkata, turut dirampas 57 unit telefon bimbit, empat komputer riba dan tujuh set komputer bagi membantu siasatan.
“Pada awalnya satu siasatan dilakukn susulan laporan dari seorang wanita berusia 20 tahun di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 14 April lalu, mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan pekerjaan menerusi e-dagang.
“Selepas diterima bekerja, mangsa diarahkan untuk membuat tujuh pembelian dan dijanjikan akan terima semula bayaran itu berserta komisen lapan peratus bagi setiap pembelian.
“Sebanyak tujuh transaksi pembelian dilakukan mangsa tetapi hanya dibayar untuk dua pembelian sahaja dibayar menyebabkan wanita itu membuat laporan polis membabitkan kerugian RM11,194,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas modus operandi sindiket itu yang aktif sejak bulan lalu, Mahidisham berkata, terdapat tiga fasa untuk memperdayakan mangsa.
“Fasa satu sindiket akan menyebarkan mesej tawaran kerja melalui WhatsApp. Kemudian mangsa akan dimasukkan dalam ‘group’ atau kumpulan aplikasi itu untuk membeli barang daripada e-dagang.
“Mangsa akan terima mesej daripada ahli sindiket bersama pautan e-dagang dan nombor akaun ditetapkan sindiket. Mangsa akan membuat transaksi ke dalam akaun itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, hasil siasatan mendapati ahli sindiket itu dibayar gaji RM100 sehari.
“Kita masih memburu dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an dipercayai terbabit sindiket berkenaan.
“Sembilan suspek itu pula masih dalam tahanan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis membuka 67 kertas siasatan membabitkan modus operasi sama dengan kerugian RM689,850 di seluruh negara setakat ini.
“Daripada jumlah itu, 27 disiasat JSJK Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM246,892,” jelasnya – UTUSAN ONLINE