MELAKA: Inisiatif kerajaan memberikan pembiayaan percuma selama 12 bulan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung, berjaya meningkatkan pendaftaran penghantar makanan di negeri ini untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Penasihat GrabFood Melaka, Faizalazhar Jamaludin berkata, ini kerana daripada 1,000 penghantar makanan yang berdaftar dengan syarikat itu, hampir 800 orang telahpun mencarum di bawah SPS Lindung yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2021.
Beliau berkata, sejak Januari lalu, kesedaran dalam kalangan penghantar makanan untuk mendapatkan perlindungan bencana pekerjaan menunjukkan aliran positif berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kerajaan bayarkan RM232.80 iaitu caruman selama setahun untuk semua penghantar makanan yang mendaftar. Maka, ini telah menimbulkan kesedaran buat rakan-rakan untuk ambil peluang ini.
“Memang saya nampak aliran kesedaran itu meningkat selepas SPS Lindung diperkenalkan. Hanya tinggal baki 20 peratus sahaja rider GrabFood yang belum daftar. Kita akan usahakan untuk minta mereka mencarum dengan Perkeso secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kembara Ramadan di Resort D’Village, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Program terbabit telah disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ghazale Muhamad.
Pada Februari lalu, statistik yang dikeluarkan Perkeso negeri menunjukkan hanya 164 daripada 650 penghantar makanan di negeri ini telah mendaftar di bawah SPS.
Dalam pada itu, seramai 120 orang penghantar makanan GrabFood telah mengambil bahagian dalam Program Kembara Ramadan dengan membantu menghantar kit makanan dan barang keperluan harian kepada 60 keluarga asnaf sekitar Melaka.
Ghazale berkata, kerja kesukarelawanan itu mengguna pakai dana daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan hasil sumbangan sendiri oleh para penghantar makanan yang terlibat.
Katanya, mekanisme pemberian sumbangan menggunakan khidmat penghantaran sedemikian amat bertepatan dengan situasi pandemik Covid-19, yang mana orang ramai tidak perlu hadir ke sesuatu lokasi untuk mengambilnya.
“Walaupun profesion ini pada peringkat awal dipandang remeh oleh masyarakat, tetapi, akhir-akhir ini, orang ramai memang memerlukan perkhidmatan ini. Memang menjadi satu keperluan pengisian kehidupan seharian.
“Saya harapkan penghantar makanan ini menjadi satu profesion yang baik di masa yang akan datang, walaupun peringkat awal masyarakat kita pandang remeh kepada kehadiran mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE