KLUANG: Sekurang-kurangnya lapan rumah rosak diterbangkan angin kuat dalam kejadian hujan lebat disertai guruh dan petir di Simpang Renggam lewat petang semalam.
Menurut salah seorang mangsa di Taman Renggam Jaya, Mansor Fujiono, 51, dia bertindak melaungkan azan ketika kejadian yang menyebabkan atap garaj keretanya terbalik dan terbang serta berpusing.
“Ketika itu saya baru sahaja pulang bekerja sebagai tukang rumah di kawasan sekitar Simpang Renggam. Saya melihat pokok besar yang terletak kira-kira 500 meter di depan rumah bergoyang kuat disusuli hujan lebat, guruh dan petir.
“Saya nekad melaungkan azan sebelum tiba-tiba garaj kereta saya yang diperbuat daripada atap zink terbang dan berpusing sebelum terbalik betul-betul di depan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mansor berkata, mujur dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kali pertama dialaminya seumpama itu sepanjang hidup.
Seorang lagi mangsa, Nor Azman Sahari, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah sebelum meninjau keadaan hujan lebat di luar.
“Selama lima tahun tinggal di sini saya tak pernah alami kejadian ini dan angin kuat merosakkan beberapa bahagian rumah termasuk sebuah kanopi di halaman rumah,” katanya.
Sementara itu seorang mangsa di Kampung Shari, Shahrul Hisam, 41, berkata, kejadian itu menyebabkan dia sekeluarga bertempiaran lari menyelamatkan diri kira-kira pukul 6 petang.
“Ketika itu saya sedang menguruskan ibu, Aminah Jarib, 85, yang sakit tua sebelum terdengar anak-anak dari rumah sebelah menjerit ketakutan.
“Saya bingkas meletakkan ibu dan menyelamatkan anak kecil saya berusia dari setahun hingga enam tahun ke rumah ibu yang terletak bersebelahan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi yang turun padang meninjau kejadian berkenaan berkata, pihaknya memberi sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mangsa.