PUTRAJAYA: Sebanyak lapan negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi fasa dua, 19 April ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan akan memulakan dahulu fasa dua PICK.
Katanya, bagi beberapa negeri lain pula adalah selepas 19 April ini untuk membolehkan pihak di negeri terbabit melakukan persediaan pelaksanaan fasa dua.
“Janji temu bagi fasa kedua PICK akan dihantar bermula hari ini melalui aplikasi MySejahtera dengan notifikasi janji temu 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Susulan notifikasi itu, peringatan pertama janji temu dihantar tiga hari sebelum hari vaksinasi dan peringatan kedua pula, sehari sebelum,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.
Khairy berkata, dua peringatan itu akan dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan.
Katanya, kehadiran adalah wajib kerana kerajaan sudah merancang dengan rapi proses penghantaran vaksin di lokasi yang ditentukan mengikut jumlah penerima vaksin.
“Apabila menerima notifikasi janji temu 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan, orang ramai diberi pilihan bersetuju atau tidak untuk hadir.
“Ini membolehkan kerajaan melakukan perancangan rapi supaya tiada vaksin yang dibazirkan. Saya berharap orang ramai yang sudah bersetuju untuk hadir mengikut masa dan lokasi yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN ONLINE