GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan tujuh notis kepada peniaga dan pemborong ayam susulan kenaikan harga ayam di negeri ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Peter J. Berinus Agang berkata, kesemua Notis Seksyen 21 di bawah Akta Kawalan Harga Dan AntiPencatutan 2011 itu dikeluarkan sejak 15 April lalu untuk tujuan siasatan dan tindakan akan diambil jika peniaga didapati mengambil keuntungan tidak munasabah.
“Pemantauan berterusan sentiasa dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri ini bagi memastikan harga barang terkawal.
“Pihak kami juga akan mengambil tindakan setiap aduan orang awam berhubung kenaikan sesuatu barangan terutama keperluan atau penggunaan harian,” katanya di sini hari ini.
Harga ayam di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang meningkat sehingga mencecah RM10.50 dan dijangka naik sehingga RM12 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri jika tidak dikawal.
Ekoran kenaikan harga ayam, KPDNHEP akan menlaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bermula 21 April hingga 20 Mei depan bagi mengawal kenaikan harga barangan keperluan.
Menurut Peter, KPDNHEP negeri turut menerima satu aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga ayam ke atas penternak.
Dalam pada itu katanya, pemeriksaan membabitkan peniaga sayur-sayuran turut dijalankan untuk memantau harga keluaran pertanian itu.
“Jika disyaki peniaga menaikkan harga, kementerian akan menjalankan siasatan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan AntiPencatutan 2011,” katanya. -UTUSAN ONLINE