7 lelaki aktif pecah rumah, pejabat ditahan - Utusan Malaysia

7 lelaki aktif pecah rumah, pejabat ditahan

NOORZAINY Mohd. Noor menunjukkan hasil rampasan daripada tujuh lelaki yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan pejabat dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Daerah SPU, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes jenayah pecah rumah dan pejabat dengan tertangkapnya tujuh lelaki dalam dua serbuan di sini Khamis lalu.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Perlis kira-kira pukul 10 pagi, lima suspek berjaya diberkas manakala dua lagi ditahan di sebuah rumah di Kampung Baru Mak Mandin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mesin bersama tujuh ekor burung peliharaan yang dicuri suspek berusia antara 21 hingga 49 tahun dalam kegiatan itu.

Antara dirampas, jelasnya, 25 buah mesin pelbagai jenis seperti penebuk lubang; pemotong pokok; pemotong rumput; pencanai; penyembur air dan pemampat yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Sebanyak tujuh ekor burung yang dilaporkan hilang turut dirampas antaranya dua ekor jenis Sun Conure, (seekor) Black Capped Lory, (seekor) Timneh African Grey Parrot, (seekor) Rainbow Lorikeet dan dua ekor merpati yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM10,000,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis Daerah SPU, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati enam suspek melakukan kegiatan itu dengan menyasarkan rumah dan pejabat sebelum menjual barang yang dicuri kepada suspek pertama berusia 37 tahun yang juga dipercayai ketua mereka.

Jelasnya, hasil rompakan itu termasuk burung akan ditukar secara sistem barter dengan suspek pertama yang juga pengedar dadah untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Keenam-enam suspek juga merupakan orang bawahan suspek pertama dan mereka turut membantu menjual dadah,” katanya.

Noorzainy berkata, kesemua suspek yang masing-masing mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah itu direman selama seminggu sehingga Khamis depan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya