68 notis tunjuk sebab harga ayam dijual mahal - Utusan Malaysia

68 notis tunjuk sebab harga ayam dijual mahal

ADNAN (tengah) ketika melakukan pemantauan harga di Mydin Kubang Kerian dalam program Walkabout SHMMP Hari Raya Puasa 2021 hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 68 notis tunjuk sebab dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terhadap peniaga yang menaikkan harga ayam sesuka hati.

Pengarah KPDNHEP, Adnan Abd Rahman berkata, notis tersebut dikeluarkan sejak 14 April hingga semalam iaitu hari pertama Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dikuatkuasakan.

“Kita beri mereka tempoh tujuh hari untuk menjawab dan tunjuk sebab mengapa harga ayam yang dijual tidak sama dengan harga semasa pasaran.

“Jika mereka gagal menjawab dan mengemukakan dokumen lengkap terhadap notis berkenaan, maka mereka akan dikompaun,“ katanya selepas program Walkabout SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Raya Mydin Kubang Kerian, di sini hari ini. 

Dalam program itu, beliau turut melakukan pemantauan terhadap 12 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP melibatkan ayam, telur, daging import ikan dan lain-lain.

Dalam perkembangan berkaitan, menurutnya, sepanjang Januari lalu, pihak KPDNHEP telah mengeluarkan 263 notis terhadap kesalahan menaikkan harga pelbagai barangan lain di seluruh negeri. 

“Kita lakukan pemantauan yang menyeluruh dengan kekuatan seramai 141 penguatkuasa dan 92 pegawai pegawai pematuh harga yang turun padang di setiap lokasi dikenal pasti,” katanya lagi. 

Menurutnya KPDNHEP turut memantau pihak pemborong di negeri ini bagi memastikan mereka tidak mencatut untuk meraih keuntungan sesuka hati terhadap peniaga.

“Buat masa ini kita lakukan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mencatut harga terutama menjelang musim perayaan.

“Kita harap orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga barangan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut dan kerjasama semua pihak perlu bagi memastikan harga barangan terkawal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya