66 penagih dicekup polis - Utusan Malaysia

66 penagih dicekup polis

ZAINUDDIN Ahmad (kanan) meninjau hasil Operasi Khas Felda di Felda Jelai 1, 2, 3 dan 4, Tampin dalam sidang akhbar di Dewan Perumahan IPD Tampin, Tampin hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seramai 66 individu dengan 16 daripadanya merupakan pesalah berulang berkaitan penyalahgunaan dadah dicekup polis dalam Operasi Khas Felda di Felda Jelai 1, 2, 3 dan 4 dekat sini.

Operasi yang bermula pukul 12 tengah malam semalam dan berakhir pukul 7 pagi tadi itu membabitkan 140 anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Timbalan Pengarah Jabatan Narkotik (Risikan/ Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Zainudin Ahmad berkata, dalam serbuan berkenaan, pihak polis turut merampas dadah bernilai RM7,762.45 membabitkan heroin seberat 192.27 gram dan juga syabu seberat 10.33 gram selain turut menyita wang tunai sebanyak RM1,400.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menangkap enam tokan dadah kecil-kecilan selain tujuh individu yang ditangkap di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan empat orang paling dikehendaki polis.

“Operasi ini adalah bagi mengekang penyalahgunaan dadah di kawasan Felda dan kami di Bukit Aman akan terus bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri-negeri lain untuk melaksanakan operasi dengan fokus di kawasan Felda.

“Kami memohon masyarakat khususnya di Felda untuk tampil memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat dalam usaha merancang operasi bersepadu pada masa akan datang, itu kami punya fokus,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Felda di Dewan Perumahan IPD Tampin, Tampin hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua JSJN Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

Sementara itu, katanya, bagi pesalah berulang yang ditangkap, hukuman lebih berat menanti di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bagi seksyen ini, pesalah yang mempunyai rekod kesalahan lampau dua kali atau lebih akan dikenakan tindakan lebih tegas iaitu berhadapan hukuman penjara lima tahun dan maksimum tiga sebatan selain tidak boleh dijamin.

“Fokus di peringkat Felda dalam mengenal pasti kesalahan berulang, kita ambil tindakan. Sekurang-kurangnya mereka akan diasingkan daripada masyarakat melalui hukuman penjara lima tahun berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya