650 penerima bantuan baharu JKM perintis projek JKMPay - Utusan Malaysia

650 penerima bantuan baharu JKM perintis projek JKMPay

TUANKU Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) diiringi Rina Mohd. Harun (dua dari kanan) berkenan melancarkan projek rintis pembayaran bantuan bulanan JKM secara tanpa tunai JKMPay di Kangar, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 650 penerima bantuan baharu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi perintis projek pembayaran bantuan bulanan agensi itu secara tanpa tunai (cashless) yang dikenali sebagai JKMPay.

Projek tersebut dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad bagi tempoh enam bulan bermula 1 Februari sehingga 31 Julai ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pada peringkat permulaan, ia melibatkan JKM Perlis dan tiga buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) iaitu di Kubang Pasu dan Kota Setar, Kedah serta Melaka Tengah, Melaka.

“Melalui kaedah tersebut, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan akan dikreditkan ke dalam kad ATM/debit Bank Islam manakala 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam kad JKMPay.

“Sebagai permulaan, penerima bantuan hanya boleh berbelanja untuk barang keperluan asas, keperluan harian dan ubat-ubatan di kedai-kedai yang berdaftar dengan Bank Islam.

“Pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan tidak dibenarkan untuk menggunakan kad JKMPay tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran projek rintis pembayaran bantuan bulanan JKM secara tanpa tunai JKMPay di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tambah Rina, sebanyak 250 kedai berdaftar untuk program tersebut dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama Rina turut berharap program tersebut dapat diperluaskan di seluruh negara membabitkan semua penerima bantuan JKM yang layak seiring dengan keperluan semasa serta perubahan kebiasaan baharu ketika ini.

“Ia juga bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan sasar.

“Dengan peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM2.2 bilion, kementerian melalui JKM komited menambah baik sistem perkhidmatan penyampaian bantuan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman khususnya aktiviti pembelian dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya