PADANG TERAP: Seramai 60 keluarga bakal menyambut Ramadan dalam suasana lebih selesa tahun ini setelah terpilih untuk memiliki kediaman baharu di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), hari ini.
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua mereka terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.
“Projek bernilai RM9.5 juta ini dibina khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah mereka sendiri.
“Kediaman yang selesa ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu golongan berkenaan menjalani kehidupan lebih baik bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan replika kunci rumah kepada 60 penduduk terlibat di Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng dekat sini, hari ini.
Mahdzir menambah, projek tersebut telah dimulakan sejak 2017 dan kini sedia didiami penduduk tersebut.
“Kita bersyukur projek ini berjaya disiapkan tepat pada masanya.
“Ini akan membolehkan mereka menyambut kedatangan Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana lebih baik pada tahun ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE