KEPALA BATAS: Seramai enam individu kerugian RM59,485 selepas menyertai satu skim pelaburan tidak wujud yang diuruskan sebuah ‘syarikat’ di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, keenam-enam individu yang berusia lingkungan 20 sehingga 30-an itu membuat pelaburan melalui syarikat yang dikenali 1983 Resources atau BIA Worldwide Solution.
Katanya, semua mangsa dijanjikan keuntungan pulangan wang berganda daripada jumlah modal yang diberikan, malah, setiap urus niaga hanya dijalankan menerusi aplikasi WhatsApp tanpa sebarang dokumen perjanjian.
“Pada awal pelaburan, mangsa akan memberikan modal dalam jumlah yang kecil sebelum menerima pulangan sebanyak tiga kali ganda.
“Mangsa yang percaya dengan pulangan tinggi yang diperoleh kemudiannya melabur menggunakan modal yang lebih besar.
“Bagaimanapun, masing-masing tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan selepas pelaburan seterusnya dibuat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE