BERA: Penantian 187 peserta Felcra Kampung Bohor Baru di sini selama 45 tahun untuk memperoleh lot individu ladang sawit tercapai sempena Ramadan ini.
Felcra kampung itu dibuka sekitar 1986 sebagai kawasan perkampungan baharu berikutan lokasi asal di pinggir Sungai Pahang sering dilanda banjir.
Pesertanya adalah penduduk asal dan generasi pertama Kampung Bohor memperoleh lot ladang sawit seluas kira-kira 2.4 hektar dan tapak rumah.
Bagaimanapun terdapat dalam kalangan peserta Felcra di situ yang telah meninggal dunia dan berhijrah ke tempat lain bagi mencari kehidupan baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peserta, Mensah Yasin, 83, bersyukur kerana dia sempat memperoleh kawasan lot ladang secara individu setelah berkongsi ladang bersama peserta lain.
“Apabila memperoleh lot ladang individu bermakna pendapatan daripada hasil sawit akan lebih tinggi,” katanya yang mempunyai lebih 30 cucu dan beberapa cicit ketika ditemui di Felcra Bohor Baru semalam.
Majlis perasmian dan mencabut undi lot peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Seorang lagi peserta, Mokhtar Jaafar, 65, berkata, undian lot tanah ladang peserta diadakan pada awal Ramadan sungguh mengujakan dan sangat ditunggu-tunggu oleh mereka di situ.
Menurutnya, penyerahan lot ladang individu bermakna membuka jalan kepada penyampaian surat hak milik tanah kepada peserta atau warisnya.
Sementara itu, anak jati Kampung Bohor, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, penyerahan lot ladang invidu itu memberi impak ibarat ‘setinggi mana terbang bangau akhirnya hinggap di belakang kerbau juga’.
“Walaupun saya bermastautin di Kuala Lumpur, inilah tanah tumpah darah dan asal usul saya,” katanya.