40 tahun bergelap, kini Aidilfitri ceria - Utusan Malaysia

40 tahun bergelap, kini Aidilfitri ceria

HAZIZAH Md. Noor ditemani dua anaknya, Muhammad Zulkarnain Yusof (kanan) dan Mohd. Nazri berbuka puasa di bawah cahaya lampu di rumah mereka di Kampung Paya Menora, Kuala Ketil, Baling semalam. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang ibu tunggal yang tinggal bersama dua anak lelakinya menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran dan gembira selepas rumah mereka menerima bekalan elektrik dan air bersih sejak dua minggu lalu.

Keluarga tersebut yang tinggal di Kampung Paya Menora, Kuala Ketil dekat sini tidak menikmati kemudahan asas tersebut sejak 40 tahun lalu.

Ibu tunggal itu, Hazizah Md. Noor, 57, dan dua anaknya, Muhammad Zulkarnain Yusof, 18, dan Muhammad Nazri, 21, selama ini hanya menggunakan pe­lita minyak tanah bagi menera­ngi rumah pada waktu malam.

Sementara itu, sumber bekalan air pula diperoleh daripada perigi dan air hujan yang ditadah untuk kegunaan harian.

Hazizah yang kematian suami tiga tahun lalu berkata, sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini lebih selesa selepas rumah mereka diterangi cahaya lampu selain dapat menggunakan bekalan air bersih menerusi paip yang disalurkan ke dalam rumah.

“Alhamdullilah impian saya selama ini untuk melihat rumah ini terang dengan cahaya lampu dan mendapat kemudahan bekalan air bersih tercapai.

“Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kami sekeluarga lebih bermakna dan ceria pada tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Hazizah berkata, pergerakannya juga terbatas selepas kaki kanannya dipotong disebabkan penyakit diabetes pada awal 2019 juga lega apabila rumah­nya menerima kemudahan asas tersebut.

Katanya, dia menerima kemudahan asas tersebut ha­sil sumbangan Bank Rakyat Cawangan Baling di sini yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi keluarganya.

“Saya berterima kasih kepada Bank Rakyat yang sudi membantu keluarga mendapat kemudahan yang diharap-harap­kan selama ini,” katanya.

Selain itu tambahnya, Bank Rakyat melakukan kerja-kerja membaik pulih rumahnya yang dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tahun 1981. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya