4 kumpulan ah long sasar peminjam terjejas Covid-19 tumpas - Utusan Malaysia

4 kumpulan ah long sasar peminjam terjejas Covid-19 tumpas

ZAINUDDIN Yaacob menunjukkan antara kenderaan yang dirampas daripada empat kumpulan sindiket ah long yang menggunakan kekerasan terhadap peminjam dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menumpaskan empat kumpulan sindiket ah long yang menggunakan kekerasan ketika menuntut hutang dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Perak kelmarin.

Sindiket yang dikenali dengan nama kumpulan Ah Boy; Ah Son; Alvin dan Ah How itu sebelum ini dipercayai menyasarkan individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan menawarkan pinjaman pada kadar faedah tinggi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, seramai 29 ahli sindiket tersebut termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di 12 lokasi sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) di sini serta di Kerian, Perak.

Ujarnya, mereka yang ditahan berusia 21 hingga 54 tahun itu terdiri daripada ketua kumpulan, pemberi pinjaman, pengutip wang dan pengurus.

“Siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak tiga tahun lalu dan menyewa tiga premis di sekitar daerah ini sebagai pejabat dan asrama pekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu pihaknya menyita pelbagai barangan dan kenderaan mewah yang digunakan ahli sindiket berkenaan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Jelasnya, sitaan itu melibatkan sebanyak 10 buah kenderaan; telefon bimbit (68); kad mesin pengeluaran wang automatik (27); cek (119); wang tunai RM98,718 dan sebilah parang yang dipercayai digunakan bagi menakutkan peminjam.

“Kita turut menyita 52 akaun yang digunakan sindiket membabitkan wang sebanyak RM6 juta bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Zainuddin, siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan menakut-nakutkan peminjam yang gagal membayar hutang dengan mengugut dan menyimbah cat merah pada dinding rumah mangsa.

Tambahnya, peminjam juga dikenakan kadar faedah yang tinggi antara 10 hingga 15 peratus sebulan sehingga menyebabkan mereka terbeban untuk membayar.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi media sosial untuk mengiklankan pinjaman dengan menyasarkan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta yang kebanyakannya terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya