39 tahun ‘dilupakan’ anak, saudara - Utusan Malaysia

39 tahun ‘dilupakan’ anak, saudara

SEBAHAGIAN penghuni Rumah Orang Tua Bukit Siput yang tinggal di rumah perlindungan berusia lebih 40 tahun itu di Segamat, Johor. – UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sisa-sisa hidup seorang warga emas wani­ta yang berusia hampir sa­tu abad hanya dikelilingi ra­kan-rakan dan penjaga se­telah lebih 39 tahun menghuni di sebuah rumah perlindungan di daerah ini.

Meskipun tidak dapat dipastikan mengapa dia berada di situ sejak berusia 56 tahun, Goh Siew Chiang yang kini menginjak usia 95 tahun tidak pernah dikunjungi ahli keluarga mahupun saudara-mara.

Hidup sunyi penghuni Rumah Orang Tua Bukit Siput di sini yang merupakan warga emas tertua berada di situ hanya teri­si dengan menum­pang kasih daripada penjaga rumah perlindungan itu, Lee Sing Huat, 67.

Menurut Sing Huat, setiap kali perayaan, dia tidak pernah melihat walaupun seorang ahli keluarga Siew Chiang datang menjenguk atau bertanya khabar wa­nita itu.

“Dia yang saya anggap seperti ibu hanya bersendirian setiap kali hari raya tiba, tiada siapa yang melawatnya dan sudah menjadi peranan dan tanggungjawab kami un­tuk menceriakan dia dan peng­huni lain bukan sahaja pada perayaan tetapi setiap masa.

“Saya tidak mengetahui de­ngan jelas latar belakang Siew Chiang kerana warga emas itu agak kurang berkongsi mengenai latar belakang keluarganya dengan kami. Tetapi dia masih lagi kuat untuk berdiri dan berjalan walaupun sudah lebih 90 tahun, cuma pendengarannya agak bermasalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Muka depan Utusan Malaysia kelmarin melaporkan nasib orang tua yang ada di antara mereka di­tinggalkan keluarga akibat faktor kesihatan dan sebagainya, malah ada yang langsung tidak menghiraukan nasib ibu bapa dengan dibiarkan di pusat ja­gaan.

Sing Huat berkata, kesemua 14 orang penghuni di Rumah Orang Tua Bukit Siput keba­nyakannya tinggal sebatang ka­ra, tidak mempunyai waris dan ada juga yang masih bujang.

“Menjaga orang tua bukanlah mudah, ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi pada usia begini, kesihatan mereka mula terjejas dan mereka memerlukan lebih perhatian bukan sahaja untuk makan dan pakaian tetapi juga belaian emosi.

“Malah apa yang penting kesemua penghuni di sini dapat bergaul dengan baik sesama mereka dan yang paling utama, mereka mempunyai teman berbual setiap hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, nasib Phang Cheng Keaw, 66, yang baru tiga tahun menetap di situ pula ekoran dia tiada adik-beradik dan saudara-mara apabila satu-satu­nya abang kandung mening­gal dunia bersama ahli keluarganya dalam kemalangan ngeri dahulu.

“Saya amat rapat dengan abang, selepas mereka sekeluar­ga meninggal dalam kemala­ngan, saya seperti hilang arah kerana tiada siapa lagi sehingga memaksa saya memilih untuk tinggal di sini bersama rakan-rakan yang lain,” katanya yang tidak berkahwin.

Cheng Keaw berkata, dia juga pernah terlibat dengan satu kemalangan motosikal semasa ber­usia 21 tahun yang mengakibatkan kakinya terpaksa dima­sukkan besi dan memegang status orang kurang upaya (OKU).

“Sebelum ini saya sempat bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai kopi tetapi de­ngan keadaan diri yang tidak berupaya melakukan kerja berat, amat sukar untuk majikan menerima kekurangan saya,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Rumah Orang Tua Bukit Siput yang sudah le­bih 40 tahun beroperasi de­ngan hanya mengharap bantuan dan ihsan pelbagai pihak di sekitar daerah itu boleh menghubungi Sing Huat di talian 017-779 8437.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya