354 warga emas Kedah terima suntikan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

354 warga emas Kedah terima suntikan vaksin Covid-19

AZIZAH LAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 359 warga emas di daerah ini menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Suka Menanti di sini, hari ini.

Meskipun ada dalam kalangan warga emas berkenaan gementar menerima suntikan tersebut, namun, rata-rata mereka menyatakan keyakinan terhadap usaha dijalankan kerajaan itu bagi memerangi Covid-19.

Salah seorang penerima vaksin, Azizah Lat, 85, mengakui turut mendengar pelbagai pandangan daripada banyak pihak berhubung suntikan vaksin itu sebelum ini.

“Saya tahu suntikan ini bertujuan untuk melawan Covid-19, tetapi, rasa takut tetap ada. Ada segelintir pihak kata tak elok dan segelintir yang lain pula kata tidak ada masalah apa.

“Tetapi, memandangkan sudah mendaftar, saya teruskan juga. Lagi pun, salah seorang cucu yang bekerja sebagai jururawat juga telah divaksin, jadi, saya fikir tak ada masalah untuk saya turut divaksin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani suntikan tersebut.

Kedah merupakan antara lapan negeri selain Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan yang memulakan fasa kedua PICK, hari ini.

Fasa kedua PICK melibatkan pemberian vaksin kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, individu berisiko dan berpenyakit serta orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Partuv Kaur, 84, berkata, dia tidak merasa sebarang kesakitan sama ada ketika disuntik mahu pun selepas segala urusan berkaitan selesai.

“Selepas disuntik, saya tidak rasa apa-apa kesan atau gangguan kesihatan. Malah, rasa seronok pula kerana sudah divaksin.

“Saya rasa program ini bagus dan takkan ragu-ragu untuk datang bagi menerima suntikan buat kali kedua nanti,” katanya.

M.T RAJARRATNAM

Seorang lagi warga emas, M.T Rajarratnam, 88, turut tidak meragui keberkesanan program tersebut, namun, merasakan masih ada ruang untuk dilakukan penambahbaikan.

“Saya merasakan urusannya agak lambat selain terdapat terlalu banyak borang yang perlu diisi. Keadaan ini mungkin mendatangkan kesulitan buat warga emas,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kota Setar, Dr. Aren Sinedeh Lemin memaklumkan, seramai 400 individu disasarkan menerima vaksin di Stadium Sultan Abdul Halim setiap hari bagi fasa kedua ini.

“Jumlah itu bagaimanapun akan berganda kerana nanti akan sampai satu tahap di mana kita perlu menguruskan suntikan penerima dos pertama dan dos kedua. Jadi, kita akan laksanakan program ini secara teratur,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN