3 keluarga termasuk dua budak terselamat rumah terbakar - Utusan Malaysia

3 keluarga termasuk dua budak terselamat rumah terbakar

KEADAAN kebakaran melibatkan sebuah rumah yang didiami empat keluarga dalam kejadian di Kampung Baru, Ayer Itam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiga buah keluarga terdiri daripada lapan penghuni termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun berlari sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Baru, Ayer Itam, di sini musnah dijilat api pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sempat menyelamatkan diri sebelum rumah yang dibahagikan kepada empat pintu tersebut hangus terbakar.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Tarmizi Md Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 9.15 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat kelas B dengan anggaran kemusnahan adalah 90 peratus.

“Seramai lapan penghuni termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan terselamat dalam kejadian kebakaran itu. Mereka berlari sehelai sepinggang keluar dari rumah masing-masing.

“Pasukan bomba mengambil masa selama setengah jam untuk mengawal api kebakaran tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, operasi pemadaman turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bagan Jermal dan Pasukan Bomba Sukarela.

Beliau menambah, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya