28 set bubu naga dirampas - Utusan Malaysia

28 set bubu naga dirampas

SEBANYAK 28 set bubu naga yang dirampas oleh Maritim Malaysia di perairan Kuala Kuar, Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 28 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada jarak kira-kira 1.0 batu nautika di perairan Kuala Kuar, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan itu hasil aduan orang awam mengenai aktiviti dan penggunaan bubu naga yang aktif di perairan negeri ini.

“Berikutan itu, rondaan rutin mengesan aktiviti ini melalui penemuan pancang penanda yang dipasang bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan Kuala Kuar sekitar pukul 1 pagi.

“Kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM3,360 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya di sini hari ini

Beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan mengikut akta tersebut.

“Zon Maritim Kuala Kedah tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di dalam kawasan perairan negara.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN