264 atlet, pegawai terima suntikan esok - Utusan Malaysia

264 atlet, pegawai terima suntikan esok

REEZAL MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 264 atlet dan pegawai yang terlibat dalam temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 akan menerima suntikan vaksin Covid-19, esok di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dijadualkan menerima suntikan vaksin itu bersama-sama dengan barisan atlet pada hari tersebut.

Menurut kementerian itu, persiapan rapi sedang dibuat barisan atlet negara dalam menghadapi cabaran temasya Sukan Olimpik yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 3 Ogos depan dan Sukan Paralimpik yang akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 September depan di Tokyo, Jepun.

“Aspek persiapan berkenaan merangkumi pemberian vaksin kepada para atlet dan pegawai yang terlibat serta program yang diatur khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung yang diterajui oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, meskipun temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik ditangguhkan pada tahun lepas akibat penularan Covid-19, kementerian melaksanakan pelbagai pendekatan dan perancangan.
termasuk pelaksanaan latihan atlet melalui Gelembung Sukan bagi memastikan semua atlet sentiasa dalam keadaan terbaik dan mampu beraksi dengan cemerlang di arena antarabangsa.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Reezal juga akan melancarkan countdown Detik 100 Hari ke Tokyo 2020 pada 14 April ini di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menurutnya, Detik 100 Hari ke Tokyo itu akan digerakkan ke seluruh negara termasuklah Program Jelajah Road to Tokyo 2020 yang bertujuan mendapatkan sokongan masyarakat serta membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Program jelajah secara kayuhan basikal ini akan diwakili oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada lima individu di setiap negeri dengan pematuhan prosedur operasistandard (SOP) Sukan dan Rekreasi yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kayuhan basikal berkenaan akan bermula di Kompleks Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dan dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik,Tokyo 2020 pada bulan Julai depan nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya