258,000 penerima vaksin Fasa 2 di Terengganu - Utusan Malaysia

258,000 penerima vaksin Fasa 2 di Terengganu

AHMAD SAMSURI MOKHTAR (dua kanan) memerhatikan seorang warga emas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 258,000 individu di negeri ini disasarkan menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka terdiri daripada warga emas, golongan berpenyakit kronik (comorbid) dan orang kurang upaya (OKU).

“Imunisasi amat penting untuk melindungi diri kita di samping ahli keluarga, rakan sekerja, jiran dan seluruh komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan PICK Terengganu Fasa 2 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.

Sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka untuk Fasa 2 iaitu di PSKT untuk daerah Kuala Terengganu, Dewan Datuk Seri Amar Diraja (Kemaman) dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu).

Sementara itu, Lim Koon Pheng, 83, berharap pengambilan vaksin berkenaan dapat menghindarkan dirinya dan insan tersayang daripada jangkitan Covid-19.

“Ubat ini bagus dan perlu diambil masyarakat untuk melindungi diri serta keluarga agar lebih selamat. Mudah-mudahan, saya terus diberikan kesihatan yang baik dan dijauhi daripada penyakit,” katanya.

Sehingga 14 April lalu, seramai 250,399 orang atau 29.7 peratus rakyat negeri ini mendaftarkan mendaftar imunisasi vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Daripada jumlah itu, empat daerah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman dengan seramai 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti Kuala Terengganu (59,713 orang), Marang (26,017 orang) dan Kuala Nerus (33,161 orang). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN