22 termasuk ketua Geng 18 Datuk Suresh, Geng 21 Sunder diberkas - Utusan Malaysia

22 termasuk ketua Geng 18 Datuk Suresh, Geng 21 Sunder diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 22 individu termasuk seorang ketua kongsi gelap dipercayai terlibat dalam Geng 18 Datuk Suresh dan Geng 21 Sunder kelmarin.

Penahanan kesemua individu itu dilakukan menerusi Op Cantas Sinecura oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Huzir Mohamed berkata, operasi khas dijalankan itu bagi membanteras dua kumpulan kongsi gelap terbabit yang bergiat aktif di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang, Selangor.

Menurut beliau, kumpulan ini didapati terbabit dengan aktiviti kongsi gelap dan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan.

“Kesemua tangkapan dilakukan sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan klang, Selangor.

“Mereka yang ditahan itu terdiri 12 orang termasuk ketua dan ahli dari Geng 18 Datuk Suresh manakala 10 lagi yang ditahan terdiri ketua dan ahli dari Geng 21 Sunder,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Huzir, suspek yang ditahan berusia 35 hingga 48 tahun dan hasil siasatan mendapati mereka mempunyai satu hingga sembilan rekod jenayah lampau dengan majoriti mereka mempunyai tiga hingga ke lima rekod jenayah lampau.

“Antara kes itu adalah seperti mendatangkan kecederaan, gaduh gempar, samun, dadah dan lain-lain.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca),” katanya.

Tambah Huzir, operasi yang dijalankan susulan rusuhan membabitkan sekumpulan lelaki daripada Geng Datuk Suresh di sebuah pusat hiburan di Brickfields, dekat sini pada 25 November lalu yang tular sehingga menyebabkan seorang cedera.

Jelasnya, dalam kejadian itu, seorang anggota polis yang secara kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan itu.

“Dalam kejadian lain yang berlaku di Kapar, Selangor pada 21 Januari tahun lalu, sekumpulan lelaki Geng 21 Sunder bersenjatakan parang, kayu dan besi menyerang seorang mangsa sehingga mendatangkan kecederaan yang serius.

“Selain itu, PDRM turut mengesan beberapa video klip yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan.

“Hasil siasatan juga mendapati terdapat 10 laporan polis yang membabitkan kumpulan itu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata Huzir, penularan video itu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat dan PDRM khususnya JSJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kumpulan kongsi gelap atau gengsterisme.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya