PETALING JAYA: Kira-kira 20 rakyat Korea Utara yang dipercayai tinggal di negara ini telah pun keluar dari Malaysia.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sumber memberitahu, Kementerian Dalam Negeri dalam proses membatalkan visa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mereka.
Kata sumber, kebanyakan mereka dipercayai peserta MM2H yang tinggal dan bekerja di negara ini dalam sektor perniagaan.
“Jumlah tersebut hanya membabitkan rakyat Korea Utara namun tidak dapat dipastikan sama ada masih terdapat peserta dari negara itu berada di negara ini atau tidak.
“Ini kerana ada sebahagian mereka dikesan masuk ke negara ini menggunakan pasport negara asal. Pada masa sama, ada juga rakyat negara itu masuk dengan menggunakan pasport negara lain,” katanya.
Kata sumber, hasil risikan juga mendapati ada rakyat negara itu dikesan sudah memiliki rumah dan perniagaan selain membawa keluarga mereka tinggal di sini.
“Namun begitu berdasarkan rekod, semua rakyat Korea Utara tiada lagi di sini,” jelasnya.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan semua rakyat Korea Utara merupakan peserta program MM2H.
“Saya memberi jaminan negara masih terkawal,” katanya.
Pada 22 Mac lalu, kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong ‘membongkar’ kepada isu kelemahan sistem keselamatan MM2H.
Utusan Malaysia mendedahkan Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram adalah peserta MM2H.
Chol-myong bersama isteri dan anak perempuannya dipercayai tinggal di Malaysia sejak program MM2H dilancarkan.
Kelmarin, laporan Daily NK mendakwa Korea Utara tidak memanggil pulang ratusan pekerja termasuk ejen rahsia Jabatan Perindustrian Pembekalan Senjata (MID) negara itu yang menjalankan penyeludupan barang mewah serta senjata di negara ini.
Laporan itu turut mendakwa, MID terbabit dengan kegiatan penyeludupan senjata dan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebagai laluan bagi menyeludup senjata Korea Utara ke Iran, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk ‘mengimport’ senjata dari negara lain ke Korea Utara.