KEPALA BATAS: Pihak penganjur di dua buah bazar Ramadan iaitu di Pekan Kepala Batas dan Penaga, di sini diberi notis amaran selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tinjauan pihaknya mendapati penganjur kedua-dua bazar berkenaan gagal mematuhi SOP antaranya tidak mengawal jumlah pengunjung.
Selain itu, menurutnya, pihak penganjur juga gagal memastikan pengunjung mencatat nama yang betul pada buku catatan, pekerja melebihi dua orang di satu gerai dan isu pemakaian apron pakai buang.
“Oleh itu, wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan notis serta-merta kepada penganjur untuk menambah baik SOP,” katanya kepada pemberita hari di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan semula di kedua-dua bazar berkenaan esok bagi memastikan penganjur mematuhi notis yang dikeluarkan.
“Jika masih gagal patuhi SOP, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dan bazar akan diarahkan tutup,” katanya.
Daerah ini meluluskan pembukaan 19 bazar Ramadan dan satu bazar Aidilfitri sepanjang Ramadan ini. – UTUSAN ONLINE