1MDB: Najib mohon dokumen perjanjian penyelesaian RM16.3b - Utusan Malaysia

1MDB: Najib mohon dokumen perjanjian penyelesaian RM16.3b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas memohon penzahiran dokumen membabitkan syarikat membabitkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, Datuk Seri Najib Razak kini memohon dibekalkan dengan beberapa lagi dokumen termasuk perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs bagi penyelesaian skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai AS$3.9 bilion (RM16.3 bilion).

Permohonan tersebut difailkan pada melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, pada 5 April lalu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Sesalinan dokumen tersebut diperolehi media hari ini.

Pada 24 Julai 2020, Goldman Sachs Group Inc dan kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian supaya Goldman Sachs membayar AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) dan mengembalikan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) sebagai pertukaran untuk Malaysia menggugurkan pertuduhan ke atas bank itu.

Bagaimanapun perincian perjanjian tersebut tidak didedahkan.

Menurut afidavit sokongan Najib, selain perjanjian tersebut, Ahli Parlimen Pekan itu menuntut transkrip atau laporan forensik telefon bimbit peribadi dan kerja bekas pengarah Goldman Sachs, Tim Lessner.

Turut dimohon ialah segala data dan komunikasi telefon-telefon bimbit itu yang kini disimpan di dalam pelayan (server) Goldman Sachs.

Semua material dan komunikasi yang tennasuk, tetapi tidak terhad kepada, surat menyurat di antara Kerajaan Malaysia dan/atau Responden dan Goldman Sachs Group berkaitan dengan perenggan 4l(c).

Pada 24 Mac lalu, Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan 19 dokumen bank bagi beberapa buah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang merupakan suami kepada Zeti.

Turut dimohon ialah dokumen-dokumen berkaitan prosiding lucut hak aset yang dirampas dari sebuah unit kondominium mewah milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. berjumlah RM680 juta.

Najib memohon kesemua dokumen-dokumen tersebut atas dakwaan ia mengandungi keterangan yang berpihak kepadanya dalam membuktikan pembelaannya dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Pada sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Collin Lawrence Sequerah menetapkan 31 Mei ini untuk pendengaran bagi kedua-dua permohonan penzahiran dokumen itu.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam memohon tempoh selama dua minggu untuk menyediakan balasan terhadap kedua-dua permohonan itu memangdang mereka hanya memperoleh permohonan kedua penzahiran dokumen tersebut pada 12 April lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya