17,000 tan sisa makanan lupus mampu isi perut tiga juta orang sehari - Utusan Malaysia

17,000 tan sisa makanan lupus mampu isi perut tiga juta orang sehari

AZIZAN Sulaiman (kanan) bersama Shamsuharizal Basir membeli juadah makanan menggunakan mangkuk tingkat sempena program penyerahan mangkuk tingkat dan kempen hargai makanan, elak pembaziran sempena bulan Ramadan di bazar Ramadan Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Sebanyak 17,000 tan metrik atau 44.5 peratus sisa makanan yang mampu ‘mengisi perut’ tiga juta rakyat di negara ini dilupuskan sehari di seluruh negara, sekali gus mengambarkan betapa seriusnya isu pembaziran makanan khususnya setiap kali di bulan Ramadan.

Manakala di negeri ini sahaja, sebanyak 52.5 tan metrik atau 35.9 peratus sisa makanan dilupuskan sehari yang jumlah tersebut pula mampu memberi makan kepada kira-kira 1,300 orang dengan tiga kali hidangan.

Jumlah tersebut meningkat sekitar 10 peratus pada bulan Ramadan dengan membabitkan sisa-sisa makanan dari bazar Ramadan, hotel, kedai-kedai makan dan pelbagai lagi.

Justeru, Pengerusi Jawatan kuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil negeri, Azizan Sulaiman berkata, kempen hargai dan elakkan pembaziran makanan yang diperkenalkan sempena bulan Ramadan itu diharap dapat mengatasi masalah pembaziran tersebut.

Pada masa sama, Azizan berkata, kempen tersebut juga mengalakkan orang ramai membawa sendiri bekas makanan seperti mangkuk tingkat apabila mengunjungi bazar Ramadan di sekitar negeri ini.

“Pelaksanaan kempen ini bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengunjung serta peniaga di bazar Ramadan berkaitan kepentingan mengurangkan pembaziran makanan bagi keperluan berbuka puasa dan hidangan sahur melalui penggunaan mangkuk tingkat ini.

“Antara faedah mangkuk tingkat ini adalah dapat membantu merancang pembelian juadah berbuka dan mengelakkan pembaziran selain membantu mengurangkan penggunaan beg plastik dan polisterin.

“Ia secara tidak langsung juga dapat mengurangkan janaan sampah yang dihasilkan oleh isi rumah,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan mangkuk tingkat dan kempen hargai makanan, elak pembaziran sempena bulan Ramadan di bazar Ramadan Arau di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Shamsuharizal Basir.

Sempena program tersebut, SWCorp negeri turut menyerahkan mangkuk tingkat kepada 20 pengunjung bazar Ramadan di situ sebagai simbolik kempen berkenaan.

Tambah Azizan, pada peringkat awal, orang ramai mungkin agak janggal membawa mangkuk tingkat apabila membeli juadah makanan, namun, mereka akan mula memahami kepentingan tersebut kelak.

“Insya-Allah, masyarakat akan mula memahami kempen yang diperkenalkan ini dalam usaha memberi kesedaran mengelak pembaziran makanan selain mampu menjimatkan kos dengan membeli makanan untuk keperluan sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya membawa sendiri bekas makanan seperti mangkuk tingkat semasa membeli juadah.

Titah baginda, budaya tersebut mampu memberi kesedaran kepada masyarakat agar membeli mengikut keperluan yang bukan sahaja mampu mengawal perbelanjaan sebaliknya mengelak pembaziran makanan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya