IPOH: Sebanyak 14 buah kereta dan sebuah motosikal musnah dalam kebakaran bengkel mengecat kenderaan di Pengkalan 1, Pasir Puteh di sini, semalam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.31 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel mengecat kenderaan yang musnah 70 peratus.
“Sebanyak 14 kereta pelbagai model dan sebuah motosikal yang ada di dalam premis itu musnah terbakar,” katanya.
Menurutnya, operasi dilakukan menggunakan aliran air sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya.
“Operasi ini turut melibatkan jentera dari BBP Simpang Pulai serta Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru, Menglembu dan Pasir Pinji,” katanya yang memberitahu operasi tamat pada pukul 12.52 tengah malam. – UTUSAN ONLINE