KOTA BHARU: Polis Kelantan akan melakukan 13 sekatan jalan raya (SJR) di tujuh daerah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 16 hingga 29 April ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, dua SJR masing-masing dijalankan di Bachok, Pasir Mas, Tumpat dan Machang manakala tiga SJR di Kota Bharu dan satu SJR di Tanah Merah serta Pasir Puteh.
Katanya, sehubungan itu orang ramai tidak dibenarkan merentas daerah dan hanya boleh berada di daerah masing-masing sepanjang PKP.
“Di peringkat awal, kita akan menempatkan seramai 500 pegawai dan anggota di semua SJR dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia ( ATM).
“Setakat ini, kita mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) PKP sebelum ini yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Shafien berkata, setakat ini orang ramai masih dibenarkan makan di restoran dan kedai makan dengan SOP yang ketat sepanjang PKP di Kelantan.
Katanya, selain SJR, polis juga akan menjalankan pemantauan di premis-premis perniagaan yang menjual juadah berbuka untuk memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi di premis perniagaan. Pemantauan perlu dijalankan kerana peningkatan kes Covid-19 agak ketara di Kelantan dalam tempoh seminggu ini.
“Individu yang ingkar SOP bakal dikompaun sebanyak RM1,500, RM5,000 dan RM10,000 dan setakat ini tiada lagi individu yang dikompaun maksimum RM5,000 dan RM10,000 di Kelantan,” katanya.