KUALA TERENGGANU: Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Mufti di samping tiga pejabat lain di Kompleks Seri Iman di sini ditutup sementara berkuatkuasa hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penutupan selama tiga hari hingga 16 April itu berikutan 11 kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangan di kompleks berkenaan.
Katanya, tiga pejabat lain yang terlibat ialah Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di samping Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.
“Perintah penutupan premis ini dilakukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembasmian kuman,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Nor Azimi, penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. -UTUSAN ONLINE