104 orang ditipu Pelaburan Brunei Investment Agency (BIA) - Utusan Malaysia

104 orang ditipu Pelaburan Brunei Investment Agency (BIA)

ZAINUDDIN YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 104 laporan berhubung penipuan pelaburan dikenali Brunei Investment Agency (BIA) di seluruh negara sejak Sabtu lalu membabitkan kerugian RM1.96 juta.

Daripada jumlah itu, laporan paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang apabila sebanyak 37 individu menjadi mangsa diikuti Johor (27 individu), Kuala Lumpur (12 individu), Selangor (sembilan individu), Perak (tujuh individu), Negeri Sembilan (enam individu) Melaka (tiga individu), Kedah (dua individu) dan Pahang (seorang).

Bercakap Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaakob berkata, semua kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, modus operandi sindiket ini adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook dan Aplikasi WhatsApp untuk diperkenalkan mengenai pelaburan ini.

Selain itu, katanya, ada segelintir mangsa turut bersemuka dengan sindiket bagi menyakinkan mengenai pelaburan ini.

“Pelaburan ini menawarkan dua pakej iaitu pakej jangka pendek dengan bayaran RM120 bagi tempoh pulangan antara tujuh sehingga 40 hari.

“Manakala pakej jangka panjang dengan bayaran RM120 bagi tempoh pulangan dua sehingga empat bulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Zainuddin, tiada nilai maksimum ditetapkan dan pulangan pelaburan dibayar sebanyak 18 sehingga 50 peratus setiap bulan.

“Kebanyakan mangsa telah memilih pakej jangka pendek dan hasil siasatan mendapati skim pelaburan ini bermula pada bulan oktober tahun lalu sehingga awal bulan ini.

“Ada mangsa membuat bayaran ke dalam dua akaun bank yang digunakan oleh suspek untuk menerima pelaburan.

“Yang mana, sebahagian mangsa pernah menerima pulangan pada peringkat awal tetapi tidak lagi dibayar ada bulan-bulan berikutnya,” jelasnya.

Tambah Zainuddin, pelaburan itu adalah skim ponzi yang mana pelaburan memberikan pulangan yang tetap dan skim akan terus erjalan selagi ada pelanggan baru masuk.

Malah, kata beliau, wang pelabur baharu akan digunakan untuk membayar keuntungan kepada pelabur terdahulu.

“Justeru, orang awam dinasihatkan tidak membuat pelaburan sebegini yang memberikan pulangan tetap kerana ini adalah skim cepat kaya.

“Kaedah digunakan adalah sama dalam semua penipuan melalui pelaburan,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya