KOTA BHARU: Odajer.com menawarkan 10,000 tapak jualan dalam talian secara percuma kepada peniaga di seluruh negeri ini yang terjejas selepas kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan, susulan peningkatan kes Covid-19.
Pemilik Odajer.com, Muhammad Amar Mirzat Ab. Kadir Jailani berkata, khidmat sosial itu dilakukan selepas melihat rintihan peniaga bazar yang ‘bergolok-gadai’ mendapatkan modal demi mencari rezeki sepanjang Ramadan ini.
Katanya, perkhidmatan tersebut bagaimanapun hanya ditawarkan selama sebulan iaitu bermula hari ini hingga 30 Ramadan.
“Peniaga yang berminat hanya perlu mendaftar di laman sesawang Odajer.com. Selepas membuat pendaftaran, mereka boleh memuat naik jenis perniagaan masing-masing dan terus beroperasi mencari pelanggan.
“Uniknya sistem ini, kita sambungkan dengan sistem perbankan internet yang mana pembeli boleh membuat bayaran secara terus kepada peniaga,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Muhammad Amar Mirzat memberitahu, kod pengimbas turut dibekalkan kepada peniaga bagi memudahkan urusan jual beli dengan pelanggan.
Katanya, pelanggan yang membuat imbasan kod itu dibawa terus ke platform bagi urusan jual beli.
“Kebiasaan sistem ini kita jual dengan RM2,497 setiap satu unit tetapi untuk Ramadan ini, Odajer.com tawarkan secara percuma kepada peniaga bazar yang terjejas akibat pembatalan baru-baru ini.
“Peniaga yang berdaftar menerusi Odajer.com ini mendapat untung bersih tanpa sebarang caj tersembunyi daripada pihak syarikat,” katanya.
Katanya, pada masa sama peniaga dapat membantu ‘runner’ menjana pendapatan menerusi penghantaran pesanan yang diselia oleh mereka sendiri. – UTUSAN ONLINE