1,000 penduduk sambut Ramadan tanpa air - Utusan Malaysia

1,000 penduduk sambut Ramadan tanpa air

PENDUDUK menunjukkan bekalan air yang dibekalkan oleh SADA kotor sekiranya bekalan pulih dalam waktu-waktu tertentu di Kampung Belukar, Alor Setar. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Belukar dan Kampung Bukit Teriak di sini terpaksa menanggung kepayahan dalam menjalani kehidupan seharian berikutan gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku pada Ramadan ini.

Penduduk mendakwa mereka terpaksa berjaga sehingga larut malam dan awal pagi untuk menadah air bagi kegunaan keluarga seharian selepas keletihan berpuasa pada waktu siang.

Penduduk di Kampung Belukar, Abdul Wahab Ahmad, 48, berkata, masalah gangguan bekalan air telah berlarutan sejak awal tahun ini dan semakin serius pada Ramadan ini.

Menurutnya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sepatutnya mengatasi masalah bekalan air yang sering terputus itu sebelum Ramadan, namun tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Saya terpaksa berjaga sehingga pukul dua pagi untuk menadah air bagi kegunaan hari esok.

“Ketiadaan bekalan air pada bulan puasa lebih memeritkan apabila isteri saya menghadapi kesukaran menyiapkan juadah berbuka puasa dan bersahur setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Farida Zakaria, 38, berkata, dia yang berniaga makanan pada Ramadan ini menghadapi banyak kesukaran untuk membuat persiapan memasak pada setiap hari.

Malah, katanya, bekalan air yang diterima oleh penduduk juga kotor dan tidak sesuai digunakan untuk memasak.

“Bekalan air di kampung ini kerap terputus dan apabila bekalan diterima dalam waktu-waktu tertentu, air pula kotor dan tidak boleh digunakan,” ujarnya.

Seorang penduduk di Kampung Bukit Teriak, Mohd. Azhar Azizan,39, pula berkata, penduduk kecewa apabila mereka tidak dapat memberi tumpuan dalam melakukan ibadah pada Ramadan ini apabila mereka terpaksa menadah air di rumah.

“Saya yang juga penternak haiwan terpaksa mengangkut air dari sungai berdekatan dalam cuaca panas pada bulan puasa ini,” katanya.

Tambahnya, masalah gangguan bekalan air telah dilaporkan kepada pihak pengurusan SADA, namun, sehingga sekarang, tiada tindakan diambil. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya