100 warga sekolah tahfiz positif Covid-19 - Utusan Malaysia

100 warga sekolah tahfiz positif Covid-19

ANGGOTA tentera dan polis menjaga pintu masuk SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan, hari ini - ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seramai 100 daripada 322 warga Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Jumaat lalu disahkan positif Covid-19 setakat ini.

Ketua Warden sekolah itu, Muhammad Shakir Ridzuan Md. Radzi, berkata, jumlah itu melibatkan 98 pelajar dan dua guru dengan kesemua mereka dirawat di beberapa hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini.

“PKRC Kolej Kejururawatan Kota Bharu menempatkan 43 pelajar manakala Hospital Pasir Mas (31 pelajar), PKRC Dewan Jubli Perak (17 pelajar), Pusat Latihan Hospital Tumpat (tiga pelajar), Hospital Pasir Puteh (dua pelajar), Hospital Tumpat (dua pelajar).

“Dua guru, masing-masing seorang lelaki dan wanita pula ditempatkan di PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa serta rumah sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Shakir Ridzuan berkata, sejak PKPD dilaksanakan di sekolah itu bermula kelmarin, keperluan berbuka dan bersahur warga sekolah diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kelantan.

Difahamkan, peringkat awal jangkitan di sekolah berlaku menerusi kontak rapat seorang pelajar yang kembali ke asrama selepas cuti sekolah baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat seluruh kawasan sekolah tersebut.

Beberapa ibu bapa dilihat menghantar barangan keperluan anak masing-masing dengan cara menyerahkannya kepada petugas keselamatan di luar pagar sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya