PETALING JAYA: Kira-kira 100 keluarga golongan B40 di Nibong Tebal menerima sumbangan bantuan Bakul Makanan dari Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan Malaysia.
Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, lebih 100 kotak diedarkan kepada golongan itu yang terkandas akibat pandemik Covid-19.
“Program Prihatin bawah PM (Perdana Menteri) banyak membantu golongan keluarga B40 yang banyak terkesan akibat Covid-19.
“Tanggungjawab kita bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumbangan itu adalah melalui Majlis Sumbangan Prihatin yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan Malaysia di kawasan Parlimen Nibong Tebal, semalam.
Majlis turut menyaksikan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan disempurnakan oleh Mansor yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Sementara itu, setiausaha pertubuhan tersebut, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, program seumpama itu diadakan dari semasa ke semasa bagi membantu mereka yang tidak berupaya dan pendapatan yang terjejas akibat pandemik.
“Pertubuhan telah proaktif semenjak pandemik, bantuan bukan sahaja terhad pada bakul makanan, malah, sumbangan bantuan tablet kepada para pelajar untuk pembelajaran dalam talian dan sumbangan peralatan kurang upaya seperti kerusi Roda, tongkat dan sebagainya.
“Sebelum ini, pertubuhan sudah memberikan bantuan kepada lebih daripada 1,000 orang di seluruh negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE