10 tahun tunggu tapak masjid - Utusan Malaysia

10 tahun tunggu tapak masjid

SEBAHAGIAN penduduk Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang mengadakan demonstrasi aman pihak mendesak pihak berkuasa tempatan dan pemaju mengotakan janji menyerahkan semula tapak masjid di kawasan perumahan terbabit. -UTUSAN/ NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Penduduk di Bandar Baru Air Putih di sini meminta pihak berkuasa tempatan mengotakan janji bagi mendapatkan semula tapak masjid di kawasan perumahan terbabit daripada pihak pemaju sejak 10 tahun lalu.

Terdahulu, mereka terdiri kira-kira 20 penduduk di kawasan perumahan itu berkumpul secara aman pada pukul 9.30 pagi hari ini bagi mendesak campur tangan pihak berkaitan membantu mendapatkan semula tanah masjid daripada pemaju perumahan tersebut.

Masing-masing mereka memegang kadbod bertulis: “Tapak Masjid Hak Kami”, “Berapa Lama Kami Harus Menunggu”, “Kesabaran Kami Ada Hadnya” dan “Kami menuntut Hak Kami”.

Lokasi tapak masjid berkenaan terletak di bawah seliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang.

Penasihat Persatuan Penduduk Bandar Baru Air Putih, Mohamad Pazli Ismail berkata, pengambilan tapak masjid seluas 1.2 hektar itu telah dilaksanakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi pelan induk yang diluluskan pada awal penyerahan fasa satu pada 2006.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang penyerahan tapak masjid berkenaan daripada pihak pemaju kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebagai pemegang amanah.

“Persatuan penduduk di sini telah memulakan langkah mendesak pihak pemaju menyerahkan tapak itu sejak 2012.

“Lebih 10 kali kami naik dan turun dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tetapi malangnya sehingga saat ini masih tiada sebarang maklum balas atau tindakan lanjut daripada pihak kerajaan negeri.

“Kami bimbang tapak ini lesap dengan pembangunan komersial sepertimana yang telah berlaku di kawasan berhampiran di sini selain bimbang status tanah ini telah ditukar ganti,” katanya kepada pemberita selepas demonstrasi aman itu.

Mohamad Pazli memberitahu, populasi penduduk yang tinggal di Bandar Baru Air Putih kini dianggarkan lebih 5,000 orang dan penduduk beragama Islam terpaksa berkongsi sebuah surau sementara yang ditempatkan di dalam dewan orang ramai berdekatan flat di situ.

“Kami tidak minta pembinaan sebuah masjid tetapi kami desak tapak masjid itu diserahkan kepada MAINPP untuk tindakan selanjutnya yang bersesuaian dengan kemudahan serta aktiviti penduduk setempat.

“Sampai bila penduduk hendak tunggu, kami hanya mahu menuntut perkara yang telahpun termaktub dalam pelan asal sejak kami tinggal di sini pada 2006,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, beliau perlu mendapat maklumat lebih terperinci berhubung isu tersebut sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Ini pertama kali saya dengar kes ini, belum pernah berbangkit dalam mana-mana mesyuarat MAINPP atau kerajaan negeri yang saya hadiri,” katanya yang juga Yang Dipertua MAINPP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN