CYBERJAYA: Datuk Zuraida Kamaruddin mengucapkan ‘selamat maju jaya’ susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalin kerjasama politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Bekas Naib Presiden PKR itu yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengucapkannya dengan nada sinis sambil ketawa apabila diminta mengulas mengenai wujudnya kerjasama antara PKR dan UMNO.
“Good luck to them (Selamat maju jaya untuk mereka),” katanya pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Ibu pejabat SWCorp di sini hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai kerjasama antara PKR, DAP dan UMNO, Zuraida berkata, beliau tidak mahu masuk campur urusan parti terbabit.
“Itu urusan parti mereka. Sudah menjadi tabiat mereka suka bergaduh.
“Saya sekarang hanya mahu menumpukan usaha membantu rakyat dan bersama kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 sekali gus mengembalikan keupayaan ekonomi Malaysia,” katanya.
Utusan Online melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO didesak perlu segera meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan penjelasan kepada lebih tiga juta ahli parti atas dakwaan DAP berhubung rundingan Presiden UMNO itu dengan Anwar.
Perkara itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd. Fuad Tukirin selepas Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong menerusi blognya mendakwa Presiden PKR itu berunding dengan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau merujuk tentang tindakan Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘Kluster Mahkamah’.
Malah sebelum itu, Anwar juga mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang PRU-15.
Bagaimanapun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpinnya yang bekerjasama dengan PKR atau DAP.