KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi berjumlah RM220 juta terhadap pengendali portal Malaysiakini serta dua lagi.
Selain menuntut jumlah janti rugi tersebut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memohon perintah injuksi bagi menghalang salah seorang wartawan portal terbabit daripada terus melaporkan perbicaraan kes jenayah yang dihadapinya yang dikatakan berbaur fitnah.
Saman tersebut melalui firma guaman Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu dengan menamakan Mkini DotCom Sdn. Bhd., Ketua Editor Malaysiakini, Gan Diong Keng, 59, dan wartawan itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyatakan Malaysiakini telah menerbitkan 22 artikel termasuk komen-komen pembaca yang dikatakan berbaur fitnah.
Artikel-artikel yang didakwa berbaur fitnah itu berkaitan dengan perbicaraan yang dihadapi oleh Ahmad Zahid dan diterbitkan di antara 28 November 2019 dan 29 Julai 2020. Beberapa artikel yang disenaraikan merupakan laporan berita daripada agensi berita, Bernama yang disiarkan semula di laman portal berita itu.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi di sini. Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan telah menutup kes mereka selepas memanggil 99 orang saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.
Beliau juga menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang akan mula dibicarakan selama 16 hari bermula 24 Mei ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurut Presiden UMNO, penerbitan artikel-artikel itu antara lainnya telah menggambarkan beliau telah menyalah gunakan kedudukannya atau jawatannya, tidak bermaruah dan tamak.
Oleh itu, Ahmad Zahid memohon ganti rugi am berjumlah RM220 juta serta ganti rugi teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau mana-mana ejen menerbitkan semula artikel dan komen-komen berbaur fitnah berkaitan perbicaraan yang dihadapinya.
Selain itu, Ahmad Zahid juga memohon perintah larangan bagi menghalang wartawan portal itu daripada terus menulis artikel-artikel yang dikatakan berbaur fitnah berkaitan perbicaraan kes beliau.
Presiden UMNO itu juga memohon agar Mkini memadamkan semua artikel dan komen yang didakwa fitnah terhadap dirinya serta menerbitkan permohonan maaf di akhbar pilihan plaintif tanpa syarat. Turut dimohon ialah kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN ONLINE