KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah meminta derma sebanyak RM10 juta daripada seorang usahawan perkapalan dari Singapura untuk kegunaan dana Yayasan Akalbudi bagi melaksanakan aktiviti kebajikan.
Christ Sheldon Merun, 32, berkata, derma itu disumbangkan oleh Wong Sang Woo pada 21 April 2016 melalui 10 keping cek setiap satunya bernilai RM1 juta dan didepositkan ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. yang merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.
Ketika membacakan kenyataan saksi, pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, maklumat berhubung derma tersebut diperoleh selepas beliau merakam kenyataan Sang Woo di Kuching, Sarawak pada 22 Februari 2019.
Dalam kenyataannya kepada SPRM, Sang Woo berkata, dia mengenali Ahmad Zahid pada satu majlis makan pada 2015 yang mana Presiden UMNO itu bertanya sama ada ahli perniagaan itu berhajat untuk menderma kepada Yayasan Akalbudi.
Christ Sheldon berkata, Sang Woo mendedahkan bahawa Ahmad Zahid meminta RM10 juta yang mana ahli perniagaan itu menyatakan beliau memerlukan masa untuk menyediakan jumlah sebanyak itu.
Pegawai penyiasat tersebut berkata, usahawan itu tidak pernah bertemu Ahmad Zahid selepas itu sehingga sekitar tahun 2016 yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian meminta `orang tengah’ untuk bertemunya dan bertanya perkembangan derma yang dijanjikan.
Ujar saksi, demi menunaikan janjinya, Sang Woo yang ketika itu berjawatan pengarah Chia Bee Enterprise Sdn. Bhd. bertindak meminjam RM10 juta daripada KTS Holdings Sdn. Bhd. melalui rakannya, Ngu Ngiong Hieng yang merupakan kakitangan perintis yang membantu penubuhan awal KTS.
Bagaimanapun, tiada perjanjian atau dokumentasi dibuat kerana pinjaman itu berdasarkan persahabatan dan kepercayaan.
Saksi berkata, hasil siasatan menunjukkan sumbangan amal RM10 juga itu diberikan melalui Chia Bee Enterprise kepada Lewis & Co. bertujuan menaikkan nama profil syarikat itu di Malaysia.
Christ Sheldon menyatakan, Sang Woo mengaku menyalurkan derma kepada badan amal itu kerana merasakan tindakan tersebut satu keistimewaan apabila Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) meminta sumbangan daripadanya.
Ahmad Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis. – UTUSAN ONLINE