Zahid guna pengurup wang sebagai `orang tengah' tukar wang dalam bentuk cek - Utusan Malaysia

Zahid guna pengurup wang sebagai `orang tengah’ tukar wang dalam bentuk cek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan sebuah syarikat pengurup wang untuk menukar wang tunai daripada pelbagai pihak dalam bentuk cek bertujuan mengaburi transaksi wang yang tidak diketahui sumbernya.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fahmee Mohamad Nor berkata, Zahid mengarahkan pemilik
syarikat itu, Omar Ali Abdullah menukar wang daripada pihak-pihak yang tidak dikenali dalam bentuk cek atas nama Tetuan Lewis & Co.

Tetuan Lewis & Co. merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah pemilik dan juga ahli lembaga pemegang amanahnya.

Katanya, Omar Ali yang pernah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan sebelum ini merupakan saksi penting kerana dia berperanan sebagai `orang tengah’ untuk menunaikan wang tunai dalam bentuk cek.

Menurut saksi, transaksi tukaran wang asing ini juga perlu direkodkan dan disertai resit selain mencatat butiran-butiran daripada pelanggan.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati, Omar Ali bagaimanapun tidak melaksanakan urus tadbir syarikat itu dengan baik dengan tidak melaporkan transaksi yang dilakukannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut pegawai penyiasat tersebut, hasil siasatan juga menunjukkan terdapat 35 keping cek daripada lima buah bank atas nama Tetuan Lewis & Co. disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya