KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, hampir RM1.5 juta dana Yayasan Akalbudi digunakan bagi pembayaran sembilan kad kredit milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dan isteri serta insurans dan cukai jalan bagi 20 buah kenderaan.
Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44, berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan dana yayasan miliknya sebanyak RM1.3 juta bagi pembayaran kad kredit beliau dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis yang mana kebanyakan perbelanjaan dibuat di luar negara.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sebanyak RM107,509.55 pula digunakan untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, isteri dan seorang individu lain.
Ketika membacakan keterangan saksi, Khairudin yang merupakan saksi akhir pendakwaan menyatakan semua maklumat dan pengunaan dana berjumlah RM1,469,547.36 itu diperolehi hasil siasatan terhadap penyata akaun bagi kad-kad kredit tersebut.
Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Dalam keterangannya, Khairudin turut menyatakan segala urusan kewangan dan aktiviti Yayasan Akalbudi adalah di bawah urus tadbir Zahid selaku pemilik sepanjang 21 tahun penubuhannya.
Saksi pendakwaan ke-99 berkata, yayasan milik Presiden UMNO itu tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) mahupun merekodkan aktiviti dan laporan kewangan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut pegawai penyiasat itu, pemegang amanah lain bukan sahaja tidak tahu menahu apa-apa aktiviti yang dilaksanakan oleh badan amal tersebut, malahan penyumbang dan jumlah dana yang diberikan juga tidak pernah dimaklumkan.
Kata Khairudin, semua maklumat itu diperolehi daripada Setiausaha Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pemegang-pemegang amanah yayasan berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis ini. -UTUSAN ONLINE