YPM bantu tingkat akademik anak nelayan di pulau-pulau - Utusan Malaysia

YPM bantu tingkat akademik anak nelayan di pulau-pulau

MOHD. Nizar Sudin (dua kanan) menyampaikan surat tawaran SAPP YPM kepada seorang pelajar, Muhammad Hafiz Husni di Pulau Tuba, Langkawi, hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperkenalkan Skim Anak Angkat Pesisir Pantai (SAPP) untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik anak nelayan di kawasan kepulauan di negara ini.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr. Mohd. Nizar Sudin berkata, projek perintis SAPP itu akan melibatkan pelajar-pelajar yang tinggal di Pulau Tuba di sini.

Menurutnya, seramai 10 pelajar di Pulau Tuba dipilih menyertai skim tersebut pada tahun ini.

“YPM bersama rakan strategiknya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, (YaPEIM), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga tidak ketinggalan membantu pelajar di pulau tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar sempena Program CSR Pendidikan Pesisir Pantai YPM bersama Rakan Strategik di Dewan Keda, Pulau Tuba, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, YPM turut menyampaikan sumbangan Tabung Pendidikan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBG) berjumlah RM6,000 kepada empat sekolah di sini.

Empat buah sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Langkawi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, SK Lubuk Chempedak dan SK Selat Bagan Nyior.

Selain itu, Mohd. Nizar memberitahu, seramai 474 pelajar di sini turut menerima sumbangan daripada YaPEIM yang berbentuk makanan bernilai RM10,000, dan bantuan wang tunai sebanyak RM20,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP, serta simpanan SSPN-i bernilai RM23,700 daripada PTPTN.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, YPM mengambil inisiatif untuk memperkenal skim ini yang difokuskan kepada pelajar pesisir pantai bagi meningkatkan taraf pendidikan pelajar di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN