YIDE tambah 4 pusat dialisis di Selangor - Utusan Malaysia

YIDE tambah 4 pusat dialisis di Selangor

BAKHTIAR (tengah) menyerahkan plak perasmian Kempen Prihatin Buah Pinggang Kita Semua kepada Abdul Aziz (dua kanan) pada sidang akhbar di YIDE, Shah Alam, Selangor hari ini. UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bakal menambah empat lagi pusat dialisis di Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor dalam tempoh 10 tahun akan datang dalam meneruskan usaha membantu pesakit kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, buat masa ini pihaknya mempunyai enam buah pusat dialisis dengan bilangan pesakit seramai 266 orang iaitu di Shah Alam, Bukit Jelutong, Kapar, Taman Melawati, Kuala Selangor dan Sungai Besar.

“Kita akan menjalin kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk membangunkan satu pusat dialisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dalam masa terdekat.

“Kita telah menanggung subsidi antara RM200,000 hingga RM300,000 setahun bagi kos tambahan dialisis iaitu ujian darah, ubat-ubatan yang disarankan serta lebihan bayaran yang tidak ditanggung oleh penaja kepada pesakit dialisis yang menjalani rawatan di pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di majlis Pelancaran Kempen Prihatin Buah Pinggang Kita Semua di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Mengulas lanjut, Bakhtiar memberitahu, pelancaran kempen itu adalah bersempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 11 Mac ini.

Katanya, berdasarkan data National Renal Registry Malaysia (NRR), terdapat seramai 44,136 individu yang menghidapi kegagalan buah pinggang manakala 6,135 orang pula meninggal dunia disebabkan penyakit ini pada penghujung 2018.

“Statistik ini menunjukkan penambahan sebanyak tiga peratus dari tahun 2016 hingga 2018 dan penambahan kes pesakit yang memerlukan rawatan meningkat enam peratus dalam tempoh dua tahun. 

“Oleh demikian, kita menjangkakan pada tahun lalu, statistik pesakit adalah seramai 44,720 orang di seluruh Malaysia dengan 8,944 orang adalah di Selangor. Pelbagai program telah disusun termasuk mengadakan sesi Live Facebook membicarakan berkenaan buah pinggang ini bersama pakar perunding,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN