YAYASAN Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sumbangan infak sebanyak 32,000 naskhah buku latihan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang keseluruhannya bernilai RM200,000.
Ia hasil kerjasama SME Corporation dengan Fateh Resources Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar tunggal buku-buku agama KAFA serta penerbitan Syarikat Fargoes Sdn. Bhd.
Lebih 4,000 pelajar prasekolah dan sekolah rendah sekitar Pahang khususnya di Pekan bakal menerima manfaat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, ilmu itu penting untuk memupuk perkara asas khususnya bagi anak-anak berdepan cabaran baharu pada masa akan datang agar mereka berupaya menjadi pemimpin masa hadapan.
“Pihak universiti dan Yayasan UMP menghargai sumbangan buku-buku ini untuk diedarkan kepada pelajar sekolah. Kita juga turut menerima banyak sumbangan daripada pihak luar termasuklah pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang sentiasa menyokong dengan menyalurkan bantuan meringankan beban pelajar,” katanya dalam Program UMP Prihatin-Pilih Untuk Berkongsi yang berlangsung di Perpustakaan UMP di sini.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Fateh Resources Holding Sdn. Bhd., Rosli Omar menyampaikan sumbangan kepada Abdul Aziz dengan disaksikan Pengerusi SME Corporation, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.
Turut berlangsung penyerahan bantuan zakat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berjumlah RM133,810 hasil sumbangan zakat staf untuk diagihkan kepada penuntut berkeperluan dan staf terutamanya dalam kalangan keluarga B40.
Ujar Abdul Aziz, kerjasama dengan Muip juga telah memanfaatkan penuntut UMP dalam projek pembangunan Kolej Kediaman Mawaddah, inisiatif bagi membantu penuntut yang mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat yang perlu ditanggung mereka.
Bangunan yang didirikan di UMP Pekan ini akan memberi manfaat kepada seramai 220 orang mahasiswa dari golongan anak yatim dan asnaf serta dijangka siap sepenuhnya pada awal Januari 2022.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, ekosistem universiti berubah bukan sahaja dalam pendidikan tinggi namun kini lebih luas yang memerlukan setiap universiti perlu memikirkan tentang agenda kesukarelawanan, pembiayaan, kebolehpasaran graduan dan juga bantuan untuk disampaikan kepada masyarakat.
Pihaknya katanya, mengucapkan terima kasih di atas segala bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak dalam usaha menjayakan ekosistem universiti yang menjadi harapan kepada masyarakat.
“UMP juga merupakan salah satu universiti awam yang bakal bekerjasama dengan pihak SME Corporation dalam merangka framework keusahawanan baharu yang diterima dalam pasaran baharu,” katanya.
Pada setiap tahun, seramai 120,000 graduan dihasilkan di Malaysia dan sebanyak 30 peratus daripadanya didapati tidak mendapat pekerjaan.
Dalam menjalankan tanggung jawab sosial, pihak SME Corporation dengan kerjasama pihak Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan mengadakan perbincangan dengan lima universiti terpilih dalam menyediakan program latihan bagi membantu graduan mendapat peluang pekerjaan. – UTUSAN ONLINE