KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Yayasan Al Bukhary pernah memberi sumbangan RM5 juta kepada Yayasan Akalbudi yang dimiliki oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi namun sumbangan itu diberikan dalam bentuk cek, bukan wang tunai.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Amirudin Nordin, 38, berkata, tiada bukti berdokumen menunjukkan sumbangan tersebut diberikan dalam bentuk tunai.
Menurut saksi, jika pihak-pihak ingin memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi, mereka boleh membuat penyerahan secara terus dan bukan melalui Tetuan Lewis & Co. walaupun firma itu merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.
Menurut Mohd. Amirudin, firma guaman itu menerima arahan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri secara lisan manakala pelantikan sebagai pemegang amanah kepada yayasan itu dibuat bukan melalui surat.
Semalam, seorang lagi pegawai penyiasat menyatakan, Omar Ali Abdullah (pemilik syarikat pengurup wang) ketika disiasat memaklumkan wang sumbangan diterima daripada Yayasan Al Bukhary namun tidak mengetahui identiti individu yang menyerahkan wang tersebut.
Menurut Mohd. Fahmee Mohamad Nor, pihaknya tidak menjalankan siasatan mendalam terhadap Yayasan Al Bukhary mahupun merakam keterangan pengasasnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana Omar Ali ketika disoal siasat mengakui tidak mengenali Syed Mokhtar.
Menurut saksi, pembelian 25 sijil simpanan tetap menggunakan dana Yayasan Akalbudi dilakukan atas arahan Zahid melalui keterangan B. Muralidharan yang merupakan rakan kongsi Lewis & Co.
Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Dalam keterangannya, Mohd. Fahmee turut menyatakan, siasatan berhubung kes pengubahan wang haram yang dijalankannya tidak terjejas walaupun disempurnakan dalam tempoh yang singkat.
Saksi itu menjelaskan, siasatan bermula seawal tahun 2016 sebaik sahaja pihaknya menerima salinan cek-cek dan prosesnya berterusan sehingga pihaknya menerima fail mengandungi dokumen-dokumen milik Yayasan Akalbudi pada September 2018.
Ujarnya, siasatan berjaya dilengkapkan walaupun tanpa cek asal kerana permohonan bagi mendapatkan cek itu daripada pihak Maybank mengambil masa lama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE