JOHOR BAHRU: Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB) mendakwa terdapat segelintir individu menawar untuk membayar sewa peniaga restoran di bandar raya ini dengan syarat perlu menyediakan meja khas untuk aktiviti perjudian dalam talian.
Setiausaha PPPPIKMJB, Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, individu berkenaan turut menetapkan agar peniaga membuka perniagaan sepenuh masa.
Dakwanya, mereka juga memberi jaminan agar jangan berasa bimbang kerana aktiviti perjudian dan kawasan berkenaan dilindungi pihak tertentu.
“Persatuan menerima laporan beberapa peniaga yang mendakwa wujudnya kegiatan perjudian dalam talian melibatkan premis perniagaan khususnya restoran di sekitar bandar raya ini.
“Kita maklum semua sektor perniagaan mengalami kemerosotan pendapatan, termasuklah pengusaha restoran. Disebabkan itu, ‘tauke judi’ mengambil kesempatan bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka dengan memberi tawaran kepada pengusaha restoran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya memandang isu berkenaan sebagai suatu perkara yang serius dan berharap polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan perjudian dalam talian sekiranya benar berlaku.
“Persatuan bimbang sekiranya aktiviti terbabit dibiarkan berlaku, ia akan menyebabkan pelbagai masalah sosial termasuk keruntuhan rumah tangga selain merosakkan bangsa dan negara.
“Berpegang teguhlah kepada prinsip agama dan berusahalah untuk mendapatkan pendapatan yang lebih berkat,” katanya.
Sehubungan itu PPPPIKMJB menasihati peniaga restoran agar tidak mengambil jalan pintas dengan menerima tawaran daripada tauke judi hanya kerana bebanan ekonomi sehingga terpaksa merosakkan perniagaan yang telah mereka jalankan selama ini.