KUANTAN: Seorang mekanik di Temerloh dekat sini kerugian RM15,000 sejurus selepas mengisi maklumat perbankan di laman web palsu.
Sebelum kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memintanya mengemas kini akaun bank melalui pautan laman web yang dikirim kepadanya pada 16 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki itu tidak mengendahkan SMS pertama tersebut.
“Bagaimanapun mangsa menerima SMS yang sama buat kali kedua pada keesokannya dan telah mengetik pautan ke laman web tersebut.
“Pautan tersebut memaparkan laman web sebuah bank dan meminta mangsa log masuk menggunakan kata laluan. Kemudian terdapat mesej di laman web itu memaklumkan akaunnya telah diaktifkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, sesudah menerima mesej pengaktifan akaun itu, mangsa terus mendaftar keluar daripada laman tersebut tanpa sebarang syak.
Beliau menambah, mangsa mula menyedari kehilangan wang apabila memeriksa baki akaunnya secara dalam talian pada 20 Mac lalu.
“Terdapat tiga transaksi pindahan wang ke dalam akaun milik individu tidak dikenali dan mangsa terus menghubungi pihak bank sebelum dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga berusia 46 tahun kerugian RM700 selepas mengetik pautan ke laman web palsu yang sama semalam.
Mohd. Wazir berkata, mangsa menerima SMS memintanya mengetik pautan yang diberikan serta mengisi maklumat akses kepada akaunnya.
“Kehilangan wang disedari mangsa apabila dia menyemak akaun di cawangan bank tersebut di Mentakab. Selain itu, pihak bank juga memaklumkan akaunnya telah disalahgunakan untuk menerima wang daripada individu lain,” katanya.
Kedua-dua kes dilaporkan di Balai Polis Mentakab, Temerloh dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.